Selasa, Julai 01, 2008

MODAL INSAN DAN PENINGKATAN JENAYAH DI MALAYSIA

Semalam (26hb Jun 2008), YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peruntukan yang telah digunakan sebanyak 19.4 % atau RM 8.8 bilion dalam tempoh 2006-2007 untuk memacu teras kedua Rancangan Malaysia KeSembilan (RMK9). Manakala sebanyak 35.8 bilion akan dibelanjakan bagi tempoh 2008 hingga 2010. Acap kali Perdana Menteri melaung-laungkan agenda pembinaan modal insan bagi mencapai taraf kualiti rakyat dari aspek minda, peribadi dan rohani. Strategi-strategi yang digariskan untuk mencapai teras tersebut membayangkan kerajaan ingin melahirkan manusia yang mempunyai ilmu yang tinggi melalui koridor pendidikan yang sistematik bermula dari peringkat rendah, menengah dan tertiari. Tidak cukup sekadar itu, kerajaan mewajibkan para remaja mengikuti Program Latihan Khidmat Negara yang dikatakan seramai 195,000 peserta telah mendapat manfaat daripada program tersebut. Disamping program-program Biro Tatanegara juga disusun bagi meningkatkan semangat kekitaan, toleransi dan patriotik dalam diri masyarakat. Agenda ini digarap khusus dalam pembentukan jatidiri masyarakat terutamanya golongan-golongan muda yang akan mewarisi negara pada masa akan datang. Perdana Menteri dan Jemaah Kabinetnya juga membantu rakyat dalam memperbaiki kualiti hidup dan meningkatkan taraf ekonomi rakyat supaya mereka akan menikmati kehidupan yang selesa dan dapat mengeluarkan mereka dalam ruang lingkup kemiskinan tegar dan kemiskinan biasa samada di bandar mahupun di luar bandar. Namun begitu, dengan matlamat, sasaran, teras dan strategi yang digarap oleh kerajaan dan dibantu oleh pelbagai agensi, NGO, persatuan penduduk masih belum lagi berjaya mengurangkan kekenduran kerisauan dan kekhuatiran rakyat terhadap peningkatan jenayah di negara kita. Jenayah bukan soal picisan dan boleh dipandang remeh. Banyak faktor boleh mengakibatkan berlakunya jenayah dan banyak kesan negatif yang berlaku juga disebabkan oleh jenayah. Maka, jenayah satu topik yang cukup berat. Manusia pada hari ini seolah-olah agak bebas untuk melakukan jenayah. Ia berlaku dimana-mana. Dikampung, kawasan luar bandar, kawasan pinggir bandar, kawasan bandar, kawasan ditengah-tengah bandaraya, di tempat pendidikan, di tempat orang ramai, di tempat sunyi, waktu malam, petang, awal pagi, pagi dan tengahari. Hampir setiap masa dan tempat. Jenayah bukan hanya mempengaruhi kehidupan manusia, ia juga mampu menggugat kuasa politik, menggoyahkan kestabilan ekonomi negara, menguncupkan pelaburan asing, meleraikan perpaduan kaum, dan meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat. Oleh sebab itu, satu kesepaduan perancangan dan tindakan perlu diperkasakan. Berdasarkan indeks jenayah negara dari tahun 2005 hingga 2007 menunjukkan peningkatan hampir semua jenis jenayah. Jenayah kekerasan termasuk bunuh, cuba untuk membunuh, rogol, cabul kehormatan, samun dengan berkawan atau tidak berkawan samada menggunakan senjata api dan tidak, pemerasan, ugutan, merusuh dan mencederakan. Bagi jenayah harta benda pula termasuklah kecurian, ragut dan pecah rumah. Kesemua jenis jenayah ini akan memberikan kesan kepada agama, nyawa, harta, akal dan keturunan manusia. Berdasarkan data dan maklumat yang diperolehi, di Malaysia mempunyai 29 buah penjara, 4 buah sekolah Henry Gurney, sebuah Tempat Tahanan Perlindungan dan 4 buah pusat pemulihan. Mengikut definisi yang diberikan dalam Portal Rasmi Jabatan Penjara Malaysia, penjara adalah tempat untuk menahan banduan yang belum dan yang telah dijatuhi hukuman penjara. Sekolah Henry Gurney pula adalah tempat untuk menahan penghuni berusia antara 14 hingga bawah 21 tahun yang ditahan di bawah Perintah Mahkamah Juvana, Tempat Tahanan Perlindungan adalah tempat untuk menahan orang tahanan yang ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Pusat Pemulihan Akhlak adalah tempat untuk menahan orang tahanan yang ditahan dibawah Ordinan Darurat (Ketenteraan Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Jadual dibawah menunjukkan rekod jumlah penghuni di institusi-institusi yang dikhaskan; Institusi Bilangan Institusi Jumlah Penghuni Penjara 29 35, 200 Sekolah Henry Gurney 4 400 Tempat Tahanan Perlindungan 1 68 Pusat Pemulihan 4 1836 Kerajaan Malaysia juga telah membelanjakan mengurus untuk keseluruhan adalah seperti berikut; Jenis Perbelanjaan 2006 2007 Perbelanjaan Keselamatan 83.7 juta 93.6 juta Perbelanjaan Pemulihan 4.2 juta 8 juta Hasil dari data ini membuktikan meskipun kerajaan telah berbelanja besar untuk membendung peningkatan jenayah, namun indeks jenayah terus meningkat. Maka sudah tentu terdapat satu persoalan yang cukup besar untuk dibincangkan. Dalam Persidangan Dewan Rakyat Pertama telah merakamkan pelbagai langkah solusi, cadangan untuk membendung kenaikan indeks jenayah ini samada dari pihak kerajaan mahupun pihak Pakatan Rakyat. Berikut adalah beberapa ucapan yang dilontarkan oleh beberapa orang ahli Parlimen termasuklah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, antaranya; 1. 1) Perdana Menteri : a) a) Meningkatkan upaya PDRM dari segi bilangan anggota dan menambahkan keperluan dan peralatan b) b) Mengambil semula pesara-pesara polis dalam tempoh tiga tahun persaraan dan masih mempunyai kesihatan yang baik dan rekod yang bersih untuk meneruskan perkhidmatan c) c) Menambahkan balai-balai polis dan pondok-pondok polis Berdasarkan daripada jawapan bertulis yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri kepada YB Cheras, bilangan balai dan pondok polis yang telah siap dibina di bawah RMK-9 adalah sebantak 35 buah sahaja. Balai polis yang paling banyak dibina adalah di negeri Johor sebanyak 5 buah tidak termasuk sebuah yang masih dalam pembinaan manakala bagi negeri Perlis tidak ada satu pun lagi pembinaan balai polis yang dibuat dalam tempoh RMK-9 ini. Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam telah pun meluluskan Waran Perjawatan Bilangan K16 tahun 2008 dengan bilangan perjawatan sebanyak 590 jawatan baru. 2. 2) Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Syed Hamid Albar a) a) Pendekatan Rakan Cop, sistem pesanan ringkas dan sistem pesanan multimedia b) b) Bekerjasama dengan kementerian, agensi-agensi lain termasuk NGO dan masyarakat Namun begitu, beberapa orang Ahli Parlimen Barisan Nasional telah menggesa kerajaan mempertimbangkan implementasi cadangan baik pulih sepertimana yang terkandung dalam 125 syor-syor Suruhanjaya Polis Di-Raja (IPCMC). Dengan wujudnya beberapa tindakan dan cadangan ini, ia masih lagi belum menjanjikan penurunan kadar indeks jenayah di Malaysia. Ia juga termasuklah dalam mempertingkatkan usaha-usaha mengkaji dan meneliti semula beberapa akta seperti Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Criminal Procedure Code. Agenda membanteras jenayah ini sudah menjadi agenda nasional yang harus difikirkan secara konkrit terutamanya bagi memastikan kerajaan lebih bertanggungjawab dalam menjaga agama, nyawa, akal, harta benda dan keturunan seluruh rakyat Malaysia. Mior Isfandy Mior Azizan Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan PAS Pusat 23 Jamadil Akhir 1429h / 27 Jun 2008 013-697 3646

Tiada ulasan: